gravatar

Antara mengajar dan mendidik

Hari ini hanya enam orang pelajar yang hadir. Begitulah lumrahnya kalau sekolah ganti hari Sabtu. 10.50 aku tunggu pelajar-pelajarku di depan makmal sains. Sebelum itu semua nota-nota untuk topik pagi tu aku tampal di papan putih. 5 minit berlalu, masih belum kelihatan seorang pun kelibat pelajarku. 10 minit kemudian baru datang 2 orang pelajar.

"Mana kawan-kawan awak yang lain" , aku bertanya.

"Cikgu, hari ni 6 orang je datang. Is dengan Am minum teh di kantin" , jawab Kelly.

Alahai. Aku kena buat sesuatu. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan. Teringat perbualan aku dengan Ustaz Z di bilik guru semasa aku sedang bersiap-siap untuk ke makmal.

"Cikgu memang minat nak jadi cikgu ke?", tanya Ustaz Z.

Sedikit tersentak dengan pertanyaan Ustaz Z. Aku menjawab, "Ye Ustaz. Saya jadi cikgu sebab minat. Bagi saya satu kepuasan bila dapat mengajar pelajar saya"

Dan Ustaz Z menceritakan pengalaman beliau selama 30 tahun mengajar di sekolah ini. Di sekolah yang sedang aku jalani latihan mengajar selama 14 minggu.

"Baguslah kalau cikgu memang betul-betul berminat untuk menjadi guru, bukan pilihan terakhir seperti sesetengah orang. Kalau begitulah, kesian pada pelajar-pelajar."

"Pelajar sekolah ni lain sikit cikgu. Kita tidak boleh terlalu garang dengan mereka. Ikut pengalaman saya, kita sebagai guru ni kena 'berkawan' dengan pelajar. Baru mereka boleh ikut apa yang kita suruh."

"Cikgu ajar di makmal kan? Sebelum mula kelas, cuba cikgu tunggu di luar makmal. Jemput mereka masuk. Hulurkan tangan, bersalam dengan mereka. Tak kisah la Melayu, Cina atau India. Dengan pelajar perempuan la ye cikgu. Tak salah kita buat begitu. Takkan jatuh maruah kita. Lama kelamaan bila berjumpa dengan mereka, mereka sendiri yang akan datang bersalam dengan kita."

"Sesekali panggil mereka datang ke bilik guru. Cikgu tanya khabar mereka, berkenalan dengan mereka. Bila berpeluang titipkan salam untuk ibu bapa mereka. Dari sini cikgu boleh tahu, sama ada pelajar tersebut mempunyai masalah dengan keluarga.Bila kita dah jadi kawan mereka, baru mudah untuk kita nasihati mereka. Dan Insha Allah mereka akan ikut."

"Mengajar dan mendidik dua perkara berbeza ya cikgu. Kalau mengajar saja mudah, tapi mendidik memerlukan kesabaran dan pengorbanan".

Dan tengahari itu, semasa menandatangan buku kehadiran, datang En. K, kaunselor sekolah.

"Tadi Ustaz Z beritahu saya, cikgu memang betul-betul minat nak jadi cikgu. Baguslah. Bukan nak kata, tapi biasanya yang jadi cikgu ni, orang baik-baik. Orang yang terpilih", kata En. K.

Aku hanya mampu mengangguk dan tersenyum melihat Cikgu K terus berlau. Dalam hati berkata, masih banyak yang perlu diperbaiki.

p/s: Minggu depan aku akan menjemput "anak-anak" aku di kelas untuk ke makmal.