Nabilah yang manja
Nabilah, satu nama yang membawa maksud cerdik, mahir. Seperti mana maksud namanya, seperti itu lah Nabilah. Anak didikku di kelas 1 Zu. Dia seorang yang rajin bertanya, bijak, manja dan sering tersenyum. Namun di sebalik senyuman manisnya, terpendam sebuah kisah duka. Setiap kali mengajar, aku perasan Nabilah seperti inginkan perhatian yang lebih dariku. Jika aku tidak melayan pertanyaannya, dia cepat merajuk. Pada anggapanku, itu perkara biasa walaupun aku dapat merasakan seperti ada 'sesuatu' yang Nabilah cuba sampaikan setiap kali dia mendekati aku.
Hari ini, baru aku tahu mengapa Nabilah bersikap sedemikian. Daripada cerita Cikgu Aisyah, ayah Nabilah telah meninggal dunia semasa dia berumur 7 tahun. Dia mempunyai seorang abang Tingkatan 5, seorang kakak Tingkatan 3 dan dua orang adik. Kehidupan mereka tidak semewah orang lain. Kadang-kadang tidak mempunyai sesen wang untuk membeli makanan. Kemiskinan hidup membuatkan Nabilah berasa rendah diri, mudah terasa kerana keadaan dirinya yang kurang sempurna berbanding kawan-kawan yang lain. Pernah guru kelasnya menghantar dia pulang, tetapi Nabilah meminta diberhentikan di separuh jalan kerana malu jika guru tersebut melihat rumahnya.
Sebenarnya, bukan Nabilah sahaja yang hidup serba kekurangan. Kebanyakan pelajar di sini berasal dari keluarga berpendapatan rendah. Pernah aku menegur seorang pelajar India yang asyik terbongkok-bongkok menadah air paip di dalam botol mineral. Bila ditanya untuk apa air itu, jawabnya untuk minum kerana dia tiada duit untuk membeli air.
Mereka perlu berusaha untuk mengubah nasib diri mereka sendiri... Dan aku sebagai seorang guru, akan membantu selagi mampu...